SMU(A)MAAHAD MUHAMMADI (P) SEPINTAS LALU

 

 

 

SMU(A)Maahad Muhammadi Perempuan yang kita kenali hari ini merupakan cetusan dari terasasnya Al-Madrasah Al- Muhammadiah Al-Arabiah pada 1 April 1937 di mana buat julung-julung kalinya sebuah sekolah agama arab ditubuhkan di Kelantan ini. Ianya diasaskan dengan 75 orang pelajar lelaki  sahaja sementara tenaga pengajar seramai tiga orang di bawah pentadbiran Majlis Agama Islam Kelantan.

 

Dari masa ke semasa sekolah ini berkembang, berubah wajah mengharungi zaman membawa seribu perubahan dan kejayaan. Pada 1 Mac 1966, satu era baru bermula di mana buat julung-julung kalinya pintu Maahad Muhammadi dibuka untuk menerima pelajar-pelajar perempuan dari sekolah agama arab jajahan dalam darjah 7. Pada hakikatnya inilah titik permulaan bagi Maahad Muhammadi Lilbanat tarikh yang tidak patut dilupai oleh kita semua khususnya pelajar-pelajar sekolah ini. Pada masa itu pelajar-pelajar lelaki dan perempuan berada di bawah satu bumbung dan di bawah  kawalan seorang pengetua. Pada 1 Ogos 1976, kuasa pentadbiran berpindah tangan dari Majlis Agama Islam Kelantan kepada  Jabatan Sekolah Agama (JASA). Pada tahun 1979, pentadbiran sekolah ini diserahkan kepada Yayasan Islam Kelantan hingga ke hari ini.

 

Ciri–ciri tersendiri bagi sekolah ini mula terserlah pada 1 julai 1982 apabila Maahad Muhammadi ini di pisahkan dari segi pentadbiran kepada dua bahagian lelaki dan perempuan dengan dua orang pengetua . Masing-masing dengan gaya pentadbiran yang tersendiri sekalipun berada dibawah bumbung yang sama.

 

Pemisahan makin jelas apabila kedua-dua bahagian ditempatkan dikawasan yang berasingan, kelas-kelas tingkatan peralihan hingga tingkatan lima bahagian lelaki dipindahkn ke bangunan baru di jalan Pengkalan Chepa pada 6 Januari 1984, sementara kelas-kelas tingkatan enam bawah dan enam atas masih kekal di Maahad Muhammadi di Jalan Merbau ini.

 

1 Januari 1985 merupakan detik terakhir perpisahan secara mutlak antara bahagian lelaki dan perempuan dimana pelajar-pelajar lelaki tingkatan enam bawah dan enam atas telah ditempatkan di bangunan lama Sekolah Menengah Ugama Falahiah Pasir Pekan. Tinggalah bangunan Al-Maahad Al-Muhammadi Jalan Merbau yang penuh bersejarah ini dengan nama Al-Maahad Al-Muhammadi secara mutlak.

 

Al-Maahad Al- Muhammadi Lilbanat terus mengorak langkah, bergerak maju mengharungi arus menghadapi seribu macam cabaran, berdiri sama tinggi dengan sekolah-sekolah lain. Kini, Al-Maahad Al-Muhammadi Lilbanat menjadi idaman dan pilihan kebanyakan ibu bapa sebagai tempat anak-anak mereka menimba ilmu pengetahuan serta pengalaman.

 

Pada tahun 1989, dengan jumlah pelajar seramai 1757 orang dan tenaga pengajar seramai 85 orang, merupakan detik yang amat bersejarah bagi Al-Maahad

 

Al-Muhammadi Lilbanat apabila diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan Kelantan untuk dijadikan sebagai sekolah anak angkat tuanku.

 

Pertambahan pelajar bagi sekolah ini begitu ketara dari setahun kesetahun dengan pertambahan kelas selaras dengan muridnya yang kini mencecah ke angka 2718 pelajar. Selain itu, berlaku juga pertambahan kepada tenaga pengajar sekolah kepada 108 orang semuanya termasuk guru-guru yang disumbangkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia seramai 28 orang.

 

Al-Maahad Al-Muhammadi Lilbanat turut tidak ketinggalan dalam menongkah arus sains dan teknologi melalui Pertubuhan Aliran Sains pada tahun 1996. Semenjak kelas ini diperkenalkan, ia mendapat sambutan yang hangat dari pelbagai pihak dan prestasi pelajar-pelajar yang mengikuti kelas ini adalah sangat membanggakan.

 

Kejayaan demi kejayaan terus ditempa oleh Maahad Muhammadi Perempuan melalui pencapaian yang amat baik di dalam peperiksaan mahupun di bidang ko-kurikulum di samping ketinggian akhlak para pelajar.

 

Menjelang alaf baru, adakah Maahad Muhammadi masih mampu mengekalkan prestasinya? Persoalan ini mengundang jawapan daripada seluruh pihak yang ingin terus melihat kegemilangan sekolah ini. Semoga Maahad Muhammadi Perempuan terus gemilang di persada dunia dan Insya-Allah akan terus maju menanam bakti kepada agama dan masyarakat dengan berkat doa dari seluruh kaum muslimin.